Monday, January 24, 2011

Ibadah Haji : Pesanan Untuk Orang Muda


Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah dilaungkan oleh nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada arahan Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke tanah suci itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan Allah. Nabi Ibrahim terpinga-pinga, dan tertanya-tanya bagaimanakah mampu baginda memanggil manusia datang sedangkan bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang kering-kontang tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan menyeru sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menyediakan rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika seruan itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam. Akhirnya manusia sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun datang ke Makkah setiap musim haji, menyahut seruan Allah melalui nabi Ibrahim, dengan berkata Labbaikallahumma Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang menyahut seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa kerdil, insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang menyahut seruannya itu. Subhanallah.... mustahil manusia yang jernih hatinya tidak rasa tersentuh ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah ibadat pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut beberapa riwayat yang telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari di dalam tafsirnya. Ahli sejarah menyatakan yang Ka'bah telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir dan faktor lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap nilai sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap arahan Allah. Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta ketabahan mental dan fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya ialah sebagai neraca keIslaman kita.Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah. Dengan sebab itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama di dalamnya, yang daripadanya lahirlah perkataan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
Menunaikan Haji Di Waktu Muda
Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan haji di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya menanggung perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir dahulu. Tetapi dalam masa yang sama masih rasa terkilan kerana kesibukan duniawi masih menghambat tanggungjawab saya membawa isteri pergi ke sana. Bilalah agaknya saya boleh berasa kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan tangan sendiri serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada diri saya.
Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan yang ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji Indonesia, Turki, Iran dan Pakistan, sekadar memberikan beberapa contoh negara. Majoriti jemaah haji Malaysia agak ketara terdiri daripada pakcik makcik yang sudah berusia tua, melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah berbongkok tiga. Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada orang lain seperti melontar, sa'ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.
Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling beruntung di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah agung tersebut melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai RM10,000, anda boleh berada selama 40 hari di tanah haram, lengkap dengan hidangan makanan yang banyak, penginapan yang terletak beratus-ratus meter sahaja daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji yang berpengalaman. Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah untuk 'pelancongan' 40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun, majoriti yang pergi adalah warga emas.
Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat faktor kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi menunaikan haji. Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, muda gagah perkasa mengharungi cabaran menunaikan rukun Islam kelima itu. Pakej paling murah untuk mereka menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu tidak termasuk makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan perlu dibuat sendiri.
Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang sebanyak RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia, mereka menjawab bahawa ada antara insitusi kewangan di negara itu yang menyediakan pakej bayaran ansuran, atau pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak berselisih pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi jumhur ulamak menyatakan orang yang tidak berduit (termasuklah pada pandangan saya mereka yang tidak layak untuk pakej ansuran seperti di Indonesia) sehingga terpaksa berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga dengan lunas syara', kewajiban membuat haji ketika mampu akan dianggap sudah terlunas.
Dibenarkan Berlengah Membuat Haji Ketika Mampu, Tetapi Perlu Bersegera Mencari Mampu
Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban membuat haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh dilambat-lambatkan. Saya ringkaskan pandangan ulamak seperti berikut:
1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik, Mazhab Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong hadith Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:ل
"Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah."
Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah membawa maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk menunaikan haji.
2. Imam al-Shafi'e pula berpandangan yang apabila seseorang itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan tersebut. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang hanya menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah, walaupun baginda dan sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat demikian mulai tahun kelapan hijrah lagi.
3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan yang semua hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera dan dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah ketika mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan adalah lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam kadar yang segera.
Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat haji ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang mencari kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang dituntut, kerana Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, dan haji adalah antara kebaikan yang besar dalam kehidupan manusia. Kemampuan membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu.
Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain. Maka tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai ke tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci agama sendiri kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera membuat haji ini. Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia, tidak sedar yang dunia yang Allah pinjamkan kepada mereka perlu diperuntukkan sebahagiannya untuk tambang haji.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita sering dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai Lembaga Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan harga yang amat-amat murah. Cuti membuat haji pun biasanya diberikan dengan gaji penuh. Sekiranya kita mempunyai simpanan sebanyak RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji, maka kita boleh mendaftar untuk membuat haji.
Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya mendaftar pada tahun ini (2009), ialah pada tahun 2027; kebiasaannya akan diawalkan.  Renungilah, berapa agaknya usia kita semasa itu. Atau, adakah Allah masih mengizinkan kita menghirup nafas lagi pada waktu tersebut.  Mendaftar itu tanda niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita naik haji, dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita, sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan mahkamah akhirat kelak.
Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak kecil lagi. Bagi mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar negara, merancanglah simpanan untuk menunaikan haji. Bagi graduan yang baru masuk alam pekerjaan, jangan terlalu ghairah membelanjakan wang besar untuk membeli simbol kekayaan dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan kemampuan untuk membuat haji.
Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan bagi mereka yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan membuat haji, jangan lengah-lengah lagi. Marilah menukar budaya membuat haji semasa di usia senja, kepada membuat haji di usia muda. Kesan daripada budaya pergi haji di usia tua itu ialah, ramai yang bersedih apabila menghantar saudaranya menunaikan haji, antaranya kerana merasakan itulah perjalanan terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan berjumpa lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.
Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.

Mengapa gagal kawal nafsu zina??......

Hikmah larangan berzina sudah dimaklumi umum. Akibat buruknya juga terbukti hari ini, kes pembuangan bayi serta pembunuhan pasangan kekasih adalah bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah. Walaupun Islam sudah menggariskan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek, ada segelintir pihak mahu melanggarnya. Maka timbullah pelbagai kejadian tidak diingini dan tidak dapat diterima fitrah manusia. Zina adalah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan pada bumi. dan dapat dilihat dalam perkembangan sosial sekarang, hubungan intim tidak lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden. Akibatnya, janin digugurkan dan anak yang tidak sah taraf lahir, dibuang merata malah dibiarkan mati. Perbuatan ini boleh disamakan dengan pembunuhan yang balasannya juga adalah nyawa, mengikut hukum Tuhan. Firman Allah: "Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar." (Surah al-Israa': 33) Berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf juga meninggalkan implikasi lain yang bersifat jangka panjang terhadap anak terbabit seperti rosaknya nasab. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah Al-Israa': 32) Buruknya zina dapat dinilai melalui amaran Allah dalam ayat itu supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong kepada zina. Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu tetapi tidak berusaha menjauhinya. Apa lagi yang mampu mengelakkan golongan ini menjauhi zina melainkan kesedaran beragama dan pemantauan orang di sekeliling? Memang benar, sekiranya empunya badan tidak berusaha kembali ke pangkal jalan, sudah tentulah tidak ada apa yang boleh merubah keadaan. Di negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak menjadi sebab perbuatan jahiliyah ini semakin berleluasa. Apatah lagi ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap golongan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga tarbiyah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang daripada terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh menjadi pedoman meskipun mampu berfikir. Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk membetulkan keadaan. Sebaliknya, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku di mana-mana, baik di rumah sendiri, bilik hotel, dalam semak atau di rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah yang terbaik untuk mengatasinya. Firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali 'Imran: 104) Individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan berpegang ajaran inilah manusia tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, seperti sabda Rasulullah: "Dari Ibni Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah – Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Islam Bukan Sains Dan Sains Bukan Islam.......


Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.
Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi
Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.
Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.
Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.
Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.
Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.
Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.
Pembaca Pasif
Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara kritis dan inovatif.
Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.
Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.
Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut.
Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang Yahudi.
Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.
Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.
Menentukan Arah Kiblat
Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.
Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli matematik.
Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.
Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan kaedah bermatematik.
Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.
Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap'.
Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.
Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya  -- mengikut penemuan terkini – tersasar.
Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang muslim, koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.
Perpecahan Umat Islam
Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW. 
Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.
Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.
Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.
Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.
Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini.
Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang berbeza berkenaan arah kiblat.
Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.
Projek Satu Arah Kiblat
Isu ini sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam terutamanya sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan 'Satu arah kiblat' dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh seorang ulama terkenal UK telah dilancarkan.
Tujuan utama projek ini adalah untuk menentukan arah kiblat secara saintifik demi menyatukan umat Islam di samping memberi satu kaedah baru kepada dunia Fikah berkenaan ijtihad.
Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara menentukan arah kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah bermatematik, tetapi kini kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara kaedah saintifik. Kaedah ketiga ini amat mudah iaitu dengan memerhatikan arah piring satelit yang boleh didapati di mana-mana sahaja.
Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba perhatikan arah piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang berdekatan. Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit Astro menghadap ke arah kiblat dengan tepat. Ketepatan arah kiblat menggunakan arah piring satelit adalah amat tepat dan terbukti apabila diukur ketepatannya dengan kompas kiblat.
Untuk memastikan bahawa kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh dunia, kami akan mengumpul data arah piring satelit di segenap benua. Dengan data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara statistik sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya menghadap Kaabah.
Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua piring satelit di seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru dapat dicipta dengan memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus meredakan perselisihan di antara umat Islam masa kini.
Seperti dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah bermatematik yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi dan seperti yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.
Oleh kerana itu, proses membina masjid baru di benua Amerika masih lagi menggunakan kaedah tradisi dengan pedoman seorang Fuqaha yang selalunya bersifat subjektif.
Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua Muslimin dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai alat untuk pengumpulan data.
Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk meminta kerjasama individu Muslim memberi arah mana-mana piring satelit yang mereka jumpai dengan pengesahan daripada arah masjid yang berdekatan dan juga daripada kompas kiblat.
Walaupun kompas kiblat kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi boleh diterima pakai pada peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini dapat menjadi satu nafas baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

Pesanan dari hamba Allah........................


Assalamualaikum
Sekadar menyampaikan. ......

Pesanan terbaik dari seorang rakan....

Assalamualaikum,

Just wanna share with everyone kisah benar yang saya lalui. Baru- baru ni ketika saya nak ke Surau berdekatan dgn rumah saya untuk sembahyang Isyak, seorang pak cik berjanggut putih dan berjubah putih dari jauh melemparkan senyum kepada saya. Kerana masih ada banyak waktu, saya tunggu pak cik berjanggut putih tu dan bertongkat yang tidak saya kenali itu.. Timbul di hati saya untuk jalan seiringan ke surau.

Bila beliau hampir pada saya, kami saling memberi salam. Orangnya sudah berumur. Tiba-tiba, pak cik itu memulakan perbualan. Beliau cakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang agak baik. Beliau cakap semua ayat Quran baik dan penting, tapi ada
tiga surah yang beliau 'pegang' betul-betul , dan beliau nasihatkan saya supaya pegang betul-betul juga. Beliau juga nasihatkan saya supaya pesan pada anak-anak supaya pegangnya betul-betul.

Pertama, kata beliau, surah Al-Fatihah. Selain penting untuk sah sembahyang, ia juga ada doa minta bantuan Tuhan dan mintak tunjukkan jalan yang betul. Mudah-mudahan dengan 'menjaga' bersungguh-sungguh surah Al-Fatihah, akan terbuka pintu bantuan dan jalan yang betul untuk kita, kata pakcik.

Kedua,
Surah Al-Ikhlas . Surah ini, katanya, s urah tauhid.
Kita mesti ingat Tuhan itu Esa dan semua amalan mesti untuk-Nya. Tak guna buat baik tapi tak ikhlas.

Ketiga, surah
Al-Kafirun , kata pak cik. Bahagian ini, menarik sikit. Pak cik tu cakap surah Al-Kafirun ada kena mengena dengan zaman sekarang, zaman globalisasi. Dalam zaman globalisasi, katanya, anak-anak saya mesti diajar supaya pegang betul-betul surah itu. Sebab, dalam zaman globalisasi, anak saya mungkin kena kerja atau belajar sampai ke Amerika atau ke mana-mana.

Kalau dia pegang pada surah Al-Kafirun, insya-Allah, dia akan selamat, kata pak cik. Dia akan bergaul dengan orang beragama lain, tapi dia sedar
'untukmu agamamu, untukku agamaku' .
Betul juga, fikir saya. Kemudian, pak cik cakap ada satu lagi perkara yang saya mesti pegang. Orang Islam, katanya, mesti ada tiga kekuatan.

Pertama, kekuatan minda

Minda, kata pak cik, ialah ilmu. Orang Islam mesti ada ilmu, termasuk ilmu moden, ilmu teknologi, ilmu teknologi maklumat (IT) dan > sebagainya kerana ilmu-ilmu itu perlu untuk hidup.

Kedua, kekuatan hati

Hati ialah iman, kata pak cik. Hati orang Islam mesti kuat supaya betapa banyak sekali pun ilmunya, dia sedar siapa yang lebih berkuasa. Bila ilmu ada iman, barulah ilmu dan hidup jadi betul. Kala u minda kuat tapi hati tak kuat, maknanya kekuatan tak seimbang dan ilmu boleh rosakkan iman, kata pak cik...

Ketiga, kuat fizikal

Pertama-pertama, kalau tubuh badan lemah, susah ilmu nak masuk dalam minda, kata pak cik. Kala u pun ada ilmu dan ada iman, jika tubuh badan tak kuat, susah nak beramal. Maknanya, kekuatan masih tak seimbang, katanya
.

Habis saja pak cik cakap pasal tiga surah dan tiga kekuatan, beliau minta diri dan hilang dari pandangan saya setiba nya di surau tersebut.
Terima kasih kepada pak cik berjanggut tu. Sebelum itu beliau berpesan agar saya sebarkan kepada yang lain. Pesanannya memang baik untuk saya sampaikan..

Iqra'.....!

Take a break....... .meditate. ..3 minutes & calm your mind...
Recite 3x :
1. Katakanlah (wahai Muhammad); " (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. 'Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya".

Setelah baca , forwardkan email ini kepada seberapa banyak rakan-rakan anda.
Bayangkan betapa besarnya RAHMAT yang Allah turunkan. Insyaallah.

Wassalam .